Tatkala persoalan itu bermain di mindanya, Allah SWT ingin menunjukkan sebuah keajaiban yang tidak tercapai oleh akal manusia. Pada saat itu juga, Allah mencabut nyawa Uzair. Tubuhnya rebah. Dia ‘ditidurkan’ dalam sebuah kematian yang panjang.
Satu tahun berlalu… sepuluh tahun… sehinggalah genap 100 tahun lamanya.
Sepanjang satu abad itu, dunia di sekelilingnya berubah, namun tubuh Uzair tetap dipelihara. Malah, ada satu perkara yang sangat ajaib berlaku. Di sisi jasadnya, terdapat sedikit bekalan makanan (buah-buahan) dan minuman yang dibawanya sebelum mati.
Logik akal mengatakan, makanan itu sepatutnya sudah busuk, berkulat, dan hancur menjadi tanah selepas beberapa hari. Namun, dengan kuasa Allah, makanan itu langsung tidak berubah! Warnanya tetap segar, baunya tetap harum, seolah-olah baru dipetik sebentar tadi.
Tetapi, berbeza pula dengan keldai tunggangannya. Keldai itu telah lama mati, dagingnya sudah reput dimakan zaman, dan yang tinggal hanyalah timbunan debu tulang yang berselerakan.