Cuitan Tawa Saidina An-Nu’aiman
Pernahkah anda terfikir, adakah di keliling Rasulullah SAW dahulu suasananya sentiasa serius, tegang, dan kaku? Jika itu yang kita bayangkan, kita mungkin terlepas pandang satu nama yang setiap kali melangkah masuk ke dalam majlis, pasti akan membuatkan bibir mulia Baginda SAW mengukir senyuman, malah adakalanya ketawa sehingga menampakkan gigi geraham Baginda.
Nama beliau ialah al-Nu’aiman bin ‘Amr al-Ansari.
Beliau bukan calang-calang insan; Nu’aiman ialah seorang ahli Badar, pejuang Uhud, Khandaq, dan menyertai Bai’ah al-‘Aqabah yang terakhir. Namun, di sebalik ketegasan menghunus pedang di medan jihad, Nu’aiman dikenali di seluruh pelosok Madinah sebagai “Sasterawan Gurauan” yang paling kreatif.
Di Sebalik Air Mata Taubat dan Pembelaan Rasulullah
Nu’aiman, sebagai seorang manusia, tidak lari daripada ujian. Sejarah mencatatkan beliau pernah diuji dengan ketagihan minuman keras sehinggakan beberapa kali dibawakan kepada Nabi SAW untuk menerima hukuman sebatan.
Dipetik daripada Sahih al-Bukhari dan Musnad Ahmad, pada suatu hari ketika hukuman dijalankan, seorang sahabat yang hilang sabar lantas menghamburkan kata-kata: “Semoga Allah melaknatmu! Sering benar engkau dibawa ke mari.”.
Mendengar kecaman itu, Rasulullah SAW terus mempertahankan Nu’aiman dengan sabda yang melegakan jiwa:
“Janganlah engkau melaknatnya, kerana demi Allah, sesungguhnya dia mencintai Allah dan Rasul-Nya.”
Teguran Baginda ini menjadi hujah yang sangat indah. Nu’aiman mungkin mempunyai kelemahan, tetapi lubuk hatinya sarat dengan kecintaan yang mutlak kepada Tuhan dan Nabinya. Sisi kemanusiaan inilah yang menjadikan kisah Nu’aiman sangat dekat dengan kita.
Kisah Gurauan Nu' aiman
Latar Belakang Saidina An-Nu’aiman
An-Nu’aiman ibn ‘Amr al-Ansari ialah salah seorang sahabat Nabi daripada kaum Ansar yang tinggal di Madinah. Beliau berasal daripada kabilah Bani an-Najjar, antara kabilah yang terawal menerima Islam di kota tersebut.
Beliau termasuk dalam golongan awal yang memeluk Islam dan turut terlibat dalam Perjanjian Aqabah Kedua, iaitu bai‘ah penting antara penduduk Madinah dan Nabi Muhammad SAW sebelum peristiwa hijrah.
Kehidupan dan Peranan
- Seorang pejuang islam yang menyertai peperangan besar seperti Badar , Uhud dan Khandaq
- Dikenali sebagai sahabat yang ceria , suka berjenaka dan mencuit hati
- Berasal dari Bani an – Najjar Madinah
- Mempunyai hubungan kekeluargaan dengan Quraisy apabila berkahwin dengan saudara perempuan Abdur Rahman ibn Auf
Helah "Hadiah Tanpa Bayaran" Buat Kekasih Allah
Sifat jenaka Nu’aiman sering kali berasaskan kasih sayang. Al-Zubair menceritakan, pantang ada barangan atau makanan yang unik dan lazat dibawa masuk oleh pedagang ke Madinah, Nu’aiman pasti akan membelinya. Beliau akan terus berlari menemui Nabi SAW dan berkata: “Ini aku hadiahkan untukmu, wahai Rasulullah.”
Baginda SAW dengan gembira menerima dan menikmatinya. Namun, plot komedi bermula apabila pemilik barang datang menuntut bayaran. Nu’aiman dengan selamba akan menuntun pedagang tersebut berjumpa Nabi SAW: “Wahai Rasulullah, tolong bayarkan harga barang orang ini.”
Baginda yang hairan bertanya: “Bukankah engkau telah menghadiahkannya kepadaku?”
Dengan wajah tanpa dosa, Nu’aiman menjawab: “Demi Allah, aku memang tiada wang untuk membayarnya. Tetapi aku sangat teringin melihat engkau memakan makanan yang sedap ini, maka aku belikan juga!”
Rasulullah SAW tidak mampu menahan tawa mendengar kejujuran yang menggelikan hati itu, lalu Baginda sendiri mengarahkan agar harga barangan tersebut dibayar.
Kisah Unta Arab Badwi: "Sembelih Dahulu, Bayar Kemudian"
Satu lagi kisah yang mengocok perut adalah apabila seorang Arab Badwi datang bertamu dan menderumkan untanya di halaman rumah Nabi SAW. Sebahagian sahabat yang sudah lama tidak menjamah daging berkata kepada Nu’aiman: “Kalaulah engkau menyembelih unta itu, dapatlah kita makan bersama-sama.”
Tanpa berfikir panjang, Nu’aiman terus menyembelih unta tersebut! Apabila Arab Badwi itu keluar dan menjerit histeria melihat untanya sudah menjadi melapah, Nabi SAW keluar dengan wajah yang serius bertanya: “Siapa yang melakukan ini?”
Para sahabat menjawab: “Nu’aiman!”
Tahu diri bakal dicari, Nu’aiman melarikan diri dan bersembunyi di dalam sebuah lubang bawah tanah di rumah Duba’ah binti al-Zubair, dilitupi dengan pelepah tamar. Apabila Nabi SAW berjaya mengesannya melalui petunjuk seorang lelaki, Baginda melihat wajah Nu’aiman yang sudah dipenuhi debu tanah.
Baginda bertanya sambil tersenyum: “Apa yang mendorongmu berbuat begini?”
Nu’aiman menjawab dari dalam lubang: “Orang-orang yang menunjukkan tempat persembunyianku kepada engkau itulah yang menyuruhku, wahai Rasulullah!”
Baginda SAW ketawa berdekah-dekah sambil menyapu debu pada wajah Nu’aiman, lalu Baginda sendiri yang membayar ganti rugi unta tersebut kepada si Arab Badwi.
Apabila Suwaibit "Dijual" Sebagai Hamba
Puncak kepada kegilaan gurauan Nu’aiman berlaku sewaktu beliau bermusafir ke Busra untuk berniaga bersama Sayyidina Abu Bakar RA dan seorang lagi ahli Badar, Suwaibit bin Harmalah.
Suwaibit ditugaskan menjaga bekalan makanan. Apabila Abu Bakar keluar seketika, Nu’aiman yang kelaparan meminta makanan, namun Suwaibit bertegas: “Tunggu sehingga Abu Bakar kembali.”
Nu’aiman yang terkenal dengan sifat ‘tidak boleh dibawa bincang’ jika dicabar, terus berjalan menemui satu kafilah dagang yang lalu. Beliau berkata: “Aku ada seorang hamba Arab yang cergas untuk dijual dengan harga murah. Cuma dia ada satu cacatnya; dia petah bercakap dan suka mengaku dirinya orang merdeka. Jika kalian setuju dengan syarat itu, belilah.”
Pedagang tersebut bersetuju dan menukarkan Suwaibit dengan sepuluh ekor unta muda. Apabila mereka datang untuk menangkap Suwaibit, Suwaibit menjerit: “Dia bohong! Aku orang merdeka!”
Para pembeli dengan selamba menjawab: “Kami sudah tahu taktikmu,” lalu mengikat leher Suwaibit dan membawanya pergi.
Apabila Abu Bakar kembali dan mengetahui hal sebenar, mereka bergegas memulangkan semula unta-unta tersebut untuk menebus Suwaibit. Kisah ‘perdagangan sahabat’ ini apabila diceritakan kepada Nabi SAW, Baginda dan para sahabat akan ketawa setiap kali teringat mengenainya sehinggakan cerita itu bertahan selama setahun!
Pengakhiran Hayat Seorang Penghibur Jiwa
Nu’aiman juga pernah menyamar menjadi tukang tenung nasib demi mendapatkan susu, malah pernah mengusik Makhramah bin Naufal yang buta sehingga terpukul Sayyidina Uthman bin Affan RA menggunakan tongkat. Segala kenakalan ini, walaupun pelik pada zahirnya, diterima dalam komuniti Madinah kerana semua orang tahu hatinya bersih daripada sebarang niat jahat atau hasad dengki.
Nu’aiman terus hidup dengan penuh warna-warni sehinggakan beliau menghembuskan nafas terakhirnya pada zaman kekhalifahan Muawiyah bin Abi Sufyan (sekitar tahun 41H-60H).
Ibrah untuk Kita Hari Ini
Kisah Nu’aiman mengajar kita satu perkara yang sangat mahal tentang Islam: agama ini tidak memadamkan fitrah manusia untuk gembira, ketawa, dan bergurau. Sifat jenaka yang tidak mengandungi unsur penghinaan, tidak berbohong demi kejahatan, dan dilakukan atas dasar kasih sayang sebenarnya adalah sebahagian daripada ubat yang melembutkan hati yang keras.
Semoga Allah meredhai al-Nu’aiman, seorang pejuang agama yang menggegarkan medan perang dengan keberanian, dan menghidupkan kota Madinah dengan senyuman.
Baca Lagi
Ingin Berwakaf? Tekan sini>>>
Atau Berinfaq? Infak.je kan ade.
Jum Bcaa Blog tentang Masjid Tempatan di Masjidsurau.com>>>



