
Apabila helaian kalendar kian menipis, detik waktu seolah-olah berbisik lembut ke dalam tangkai hati kita. Sebuah tahun bakal melabuhkan tirainya, membawa pergi bersama-samanya seribu satu memori—ada tawa yang mendatangkan kesyukuran, dan ada titisan air mata yang menuntut kesabaran.
Rencam hidup yang bersilih ganti antara nikmat dan ujian ini bukanlah satu kebetulan. Ia adalah sebuah madrasah yang sengaja dihamparkan oleh Allah SWT untuk menzahirkan isi hati kita yang sebenar. Melalui Surah al-Mulk ayat 2, Allah menegaskan
“Dia lah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) – untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah antara kamu yang lebih baik amalnya…”
Menjelang lembaran tahun yang baharu, setiap daripada kita pasti sibuk menyusun azam. Ada yang mahu mengukuhkan material, meningkatkan kerjaya, atau meluaskan empayar perniagaan. Merancang masa depan dunia itu dituntut, namun sebagai seorang mukmin, pandangan kita harus menembusi garis sempadan kematian.
Rasulullah SAW memberikan sebuah definisi yang sangat mendalam tentang erti sebuah kecerdikan melalui sabda baginda:
“Orang yang cerdik (yang berakal) ialah orang yang mempersiapkan dirinya dan beramal untuk hari setelah kematian, manakala orang yang lemah (imannya) ialah orang yang jiwanya mengikuti hawa nafsunya dan berangan-angan kepada Allah SWT (bahawa Allah akan mengampuninya).” (HR at-Tirmidzi).
Di manakah kedudukan kita dalam neraca hadis ini? Adakah kita si cerdik yang sedang sarat mengisi tabung bekalan akhirat, atau kita si lemah yang hanyut melayan nafsu sambil berangan-angan kosong mengharapkan syurga?
Islam memandu umatnya untuk seimbang. Kita diseru membina masa depan yang cemerlang dalam semua aspek—spiritual, moral, intelektual, dan material. Melalui Surah al-Hasyr ayat 18, Allah SWT menyeru: “…dan hendaklah tiap-tiap diri melihat dan memerhatikan apa yang dia telah sediakan untuk hari esok (hari akhirat).”
Perancangan yang agung memerlukan tindakan yang berterusan. Kita tidak boleh sekadar melangut menanti takdir tanpa mengalirkan keringat usaha. Namun, selepas setiap ikhtiar dikerah ke titik maksimum, serahkanlah helaian keputusan itu kepada pemilik alam semesta.
Konsep indah ini dirakamkan dalam sekeping hadis tentang seorang lelaki yang bertanya kepada Nabi SAW: “Aku lepaskan unta aku dan aku bertawakal?” Baginda SAW terus menjawab: “Ikatlah unta itu dan bertawakallah.” (Sahih Ibn Hibban). Usaha dahulu dengan kemas, kemudian berserahlah dengan jiwa yang lapang.
Saban tahun, detik jam 12:00 tengah malam tahun baharu sering dirayakan dengan dentuman suar dan jerit pekik pesta yang melalaikan. Alangkah ruginya jika tirai malam yang sepatutnya menjadi ruang muhasabah, bertukar menjadi pengundang kemurkaan Allah akibat percampuran bebas, dedah aurat, dan hiburan yang melampau.
Sebagai alternatif yang mendamaikan jiwa, ayuh kita tukar rentak sambutan kita. Untuk masyarakat di sekitar Lembah Klang dan Putrajaya, Program Gema Syukur yang dianjurkan oleh JAKIM di Masjid Putra, Putrajaya (pada setiap 31 Disember) merupakan medan terbaik untuk kita berkumpul.
Daripada menghabiskan malam dengan kelalaian, adalah lebih indah jika kita mengisinya dengan alunan Yasin, zikir, doa selamat, tadabbur al-Quran, qiamullail, dan tausiah Subuh. Itulah cara terbaik untuk membina benteng iman bagi menghadapi cabaran tahun-tahun mendatang.