
Pengorbanan Pemilik Dua Cahaya & Ujian Sebuah Kesetiaan
Dalam sejarah awal Islam, ada seorang susuk tubuh yang dikenali dengan sifat pemalu yang luar biasa, sehingga para malaikat juga segan terhadapnya.
Beliau bukan sahaja seorang saudagar kaya yang dermawan, malah merupakan bangsawan terawal Mekah yang sudi tunduk menerima kebenaran ketika pembesar lain memilih untuk menentang.
Beliau ialah Saidina Utsman bin Affan RA , khalifah Ketiga Islam yang digelar Zun Nurain (Pemilik Dua Cahaya) kerana mendapat kemuliaan mengahwini dua orang puteri Rasulullah SAW.
Dilahirkan dalam kabilah Bani Umayyah yang kaya, berpengaruh, dan dihormati di Mekah, Utsman merupakan seorang pedagang yang sangat berjaya. Sekitar tahun 620 M, ketika dakwah Islam menerima tentangan hebat daripada kabilahnya sendiri, Utsman mengambil langkah berani dengan memeluk Islam.
Langkah ini menjadikannya pemeluk Islam pertama yang mempunyai kedudukan sosial dan ekonomi yang tinggi dalam aristokrasi Mekah sebuah sokongan moral yang amat berharga bagi Rasulullah SAW ketika itu.
Khalifah Pilihan: Sebuah Jalan Kedamaian
Apabila Khalifah Kedua, Saidina Umar bin al-Khattab RA wafat pada tahun 644 M (23 Hijrah), beliau meninggalkan sebuah majlis syura (konsultasi) yang terdiri daripada enam orang sahabat untuk memilih penggantinya.
Dalam proses pengundian, tokoh-tokoh besar saling membatalkan undian satu sama lain, sehinggalah Utsman bin Affan terpilih sebagai calon kompromi demi mengekalkan keharmonian dan mengelakkan perpecahan ummah.
Utsman mewarisi sebuah empayar Islam yang sedang berkembang pesat. Di bawah kepimpinannya, ekspansi wilayah diteruskan menembus sempadan-sempadan baharu, walaupun kemenangan pada eranya menuntut kos yang lebih tinggi dan cabaran geografi yang lebih sengit jika dibandingkan dengan zaman sebelumnya..
Jasa Abadi: Penstandardan Al-Quran
Sumbangan terbesar Saidina Utsman yang kekal utuh dan dirasai oleh setiap umat Islam sehingga ke hari ini ialah usaha penstandardan teks suci al-Quran, yang dikenali sebagai Mushaf Utsmani.
Seiring dengan peluasan empayar Islam, ramai penduduk dari pelbagai wilayah dan bangsa mula memeluk Islam. Hal ini menimbulkan kebimbangan apabila wujud perbezaan ketara dalam cara pembacaan ayat al-Quran (dialek/lahjah) dalam kalangan tentera dan masyarakat di wilayah yang jauh.
Langkah Pemeliharaan Al – Quran
- Mengumpulkan semua catatan wahyu asal
- Menghasilkan satu versi teks standard
- Memusnahkan salinan lain yang tidak seragam
Impak Kepada Ummah
- Menghapuskan kekeliruan cara bacaan
- Menyatukan umat islam di bawah satu teks rasmi
- Memelihara keaslian struktur huruf asal al – quran
Langkah berani ini berjaya memelihara keaslian al-Quran daripada sebarang penyelewengan, sekaligus menyatukan umat Islam di bawah satu rujukan yang berautoriti.
Pusaran Politik dan Cabaran Pentadbiran
Sebagai pemimpin, Utsman mempunyai personaliti yang lebih lembut jika dibandingkan dengan ketegasan Saidina Umar. Beliau berhasrat untuk membina satu sistem pentadbiran pusat yang kukuh bagi menggantikan pakatan suku kaum yang longgar.
Namun, pendekatan pentadbirannya mula mengundang kritikan. Beliau melantik beberapa ahli keluarganya daripada Bani Umayyah untuk memegang jawatan Gabenor di beberapa wilayah penting serta mengagihkan sistem tanah jajahan
Strategi ini dilakukan dengan matlamat untuk mengukuhkan kawalan autoriti pusat melalui individu yang dipercayainya. Tindakan ini malangnya menimbulkan rasa tidak puas hati, terutamanya dalam kalangan pihak tentera.
Hal ini kerana sebahagian besar kekayaan yang mengalir ke pusat pemerintahan disalurkan kepada golongan gabenor dan pembesar, bukannya kepada kebajikan tentera di barisan hadapan. Isu agihan fiskal dan persepsi nepotisme ini mula mencetuskan api ketegangan di wilayah-wilayah luar.
Fitnah yang Mengalirkan Darah
Menjelang tahun 650 M, bibit-bibit pemberontakan mula meletus di wilayah Mesir dan Iraq. Pada tahun 655 M, sekumpulan penentang dari Mesir telah berarak menuju ke kota Madinah iaitu pusat pemerintahan Islam sewaktu zaman tersebut.
Utsman, dengan sifatnya yang sentiasa mahukan kedamaian, mengambil pendekatan berlembut dan bertolak ansur, menyebabkan kumpulan pemberontak itu bersetuju untuk berpatah balik ke Mesir.
Namun, ketenangan itu cuma seketika. Tidak lama kemudian, sekumpulan pemberontak yang lain datang semula dan bertindak mengepung kediaman Saidina Utsman.
Meskipun mempunyai peluang untuk mempertahankan diri menggunakan kekuatan ketenteraan, Utsman melarang para sahabat dan penduduk Madinah daripada mengangkat senjata demi mengelakkan pertumpahan darah sesama Muslim di kota suci Rasulullah.
Selepas beberapa hari dikepung dalam keadaan berpuasa dan sedang membaca al-Quran, rumah beliau dicerobohi. Pada 17 Jun 656 M, Saidina Utsman bin Affan gugur syahid di tangan pemberontak.
Kewafatan beliau menjadi satu titik hitam yang amat kritikal dalam sejarah Islam, kerana ia menandakan bermulanya era konflik agama dan politik yang terbuka (fitnah) dalam kalangan umat Islam yang berlarutan buat sekian lama.
Jom Baca Lagi
Ingin Berwakaf? Tekan sini>>>
Atau Berinfaq? Infak.je kan ade.
Jum Bcaa Blog tentang Masjid Tempatan di Masjidsurau.com>>>



