Judi Online : Seronok Sementara, Derita Selamanya!

Seronok Sementara, Derita Selamanya!

Pernahkah terfikir, dengan hanya satu klik di skrin telefon pintar, seseorang boleh menggadaikan seluruh masa depannya?

Hari ini, trend judi dalam talian (judi online) seperti taruhan sukan, kasino digital, dan permainan slot semakin menular dalam masyarakat. 

Ia tidak lagi mengenal usia mahupun status sosial. Disebabkan aksesnya yang terlalu mudah boleh dimainkan di mana-mana dan pada bila-bila masa ramai yang terjerat tanpa sedar.

Kenapa Judi Online Sangat Bahaya?

Bukan sekadar kehilangan wang ringgit, judi online membawa impak yang jauh lebih kronik:

  • Ketagihan Melampau: Menggila mencari wang dengan apa jua cara, termasuk menipu, berkasar, malah sanggup berbunuhan.

  • Kehancuran Institusi Keluarga: Keruntuhan rumah tangga, hilang maruah diri, dan mengabaikan tanggungjawab.

  • Ancaman Iman & Akhlak: Menjauhkan diri daripada mengingati Allah SWT dan melalaikan solat.

Firman Allah SWT dalam Surah al-Maa’idah, ayat 91:

“Sesungguhnya Syaitan itu hanyalah bermaksud mahu menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu dengan sebab arak dan judi, dan mahu memalingkan kamu daripada mengingati Allah dan daripada mengerjakan sembahyang…”

 

Langkah Proaktif Membanteras Judi Online

Kita tidak boleh berpeluk tubuh. Berikut adalah benteng yang perlu kita bina bersama:

  1. Peranan Tegas Ibu Bapa: Pantau aktiviti digital anak-anak. Dedahkan mereka tentang bahaya cyber-gambling sejak dari awal.

  2. Perkukuh Benteng Iman: Isi masa lapang dengan aktiviti berfaedah, perbanyakkan amal ibadah, dan sentiasa mengingati mati agar tidak hamba kepada dunia.

  3. Saling Menasihati: Jadilah masyarakat yang peka. Tegur dan bantu ahli keluarga atau rakan terdekat yang mula menunjukkan tanda-tanda ketagihan judi.

Pilih Berkat, Jauhi Laknat

Judi hanya menawarkan ilusi kekayaan yang cepat, tetapi realitinya ia adalah jalan singkat menuju kebinasaan di dunia dan tiket ke neraka di akhirat.

Mari kita perbaiki diri dan keluarga kita. Pastikan setiap sen yang mengalir dalam hidup kita datang daripada sumber yang halal agar hidup sentiasa diredai dan diberkati Allah SWT.