Cukupkah Harta Mangganti Kasih Sayang Ibu Bapa?

Bakti yang Terlewat adalah Penyesalan Terbesar

Pernahkah anda terfikir, betapa seringnya kita meletakkan “syarat” sebelum kita benar-benar mahu memberi kepada orang tua?

 Kita selalu berbisik dalam hati, “Nanti kalau saya sudah ada gaji besar, bila saya sudah ada rumah mewah dan kereta selesa, barulah saya akan bawa emak dan ayah pergi bercuti ke luar negara atau menghadiahkan mereka segala yang mereka mahukan.”

Kita menjadi terlalu obses dengan idea bahawa “berbakti” itu sinonim dengan kemewahan. Kita bekerja siang dan malam, memerah keringat demi mengejar kejayaan, dengan alasan utamanya adalah untuk kesenangan ibu bapa. 

Namun, dalam keterujaan mengejar dunia itulah, kita sering terlupa satu hakikat yang sangat menyakitkan . 

Masa Tidak Pernah Berhenti Untuk Sesiapa

Ingatlah, pintu syurga kita berada betul-betul di bawah telapak kaki ibu dan keredaan ayah. Jangan jadikan kekayaan sebagai alasan untuk menangguhkan bakti.

Jangan biarkan hati kita menjadi keras kerana terlalu sibuk dengan urusan duniawi sehingga kita lupa bahawa orang yang paling berhak mendapat kasih sayang kita sedang menunggu di rumah.

Mulakanlah hari ini. Tidak perlu tunggu bonus, tidak perlu tunggu pangkat tinggi. Satu panggilan telefon, satu suapan makanan, atau sekadar duduk berbual kosong dengan mereka sudah cukup untuk membuatkan hati mereka berbunga.

 Bahagiakanlah mereka selagi mereka masih bernafas, selagi wajah mereka masih ada di hadapan mata. Kerana apabila saat perpisahan itu tiba nanti, yang tinggal hanyalah kenangan tentang sejauh mana kita telah berusaha menjadi anak yang berbakti, bukan tentang betapa kayanya kita pada waktu itu.

Hargai mereka sekarang, sebelum semuanya menjadi terlalu lambat.

Ibu dan ayah kita tidak pernah meminta harta yang bertimbun. Mereka tidak perlukan rumah agam atau percutian mewah.

Apa yang mereka dambakan hanyalah kehadiran kita ,suara kita yang bertanya khabar, tangan kita yang memegang erat tangan mereka, dan masa kita yang diluangkan untuk mendengar cerita-cerita lama mereka.

Sering kali, saat kita sudah memiliki segalanya, mereka pula yang sudah tiada. Itulah penyesalan yang tidak boleh dibeli dengan wang ringgit.

Berbakti kepada ibu bapa adalah satu bentuk “pelaburan” yang paling kritikal dalam hidup seorang anak. Ia bukan tentang nilai material, tetapi tentang keikhlasan dan pengorbanan.

 Ada masanya, kita mungkin perlu membuat keputusan besar seperti menolak tawaran kerja di tempat yang jauh atau mengurangkan masa sosial demi menjaga ibu yang sedang uzur atau ayah yang perlukan perhatian.

 Mungkin itu terasa seperti kita “rugi” dari sudut kerjaya, tetapi di sisi Tuhan, itulah keuntungan yang paling besar.