Al-Quran Dihayati, Ummah Diberkati

Al-Quran merupakan kitab agung yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW sebagai pedoman hidup umat Islam. Ia bukan sekadar untuk dibaca, tetapi untuk difahami dan diamalkan dalam kehidupan seharian. Keagungan al-Quran tiada tandingan, bahkan menjadi sumber hidayah, rahmat dan petunjuk bagi setiap Mukmin yang mendekatinya dengan hati yang ikhlas.

Dalam masyarakat hari ini, budaya membaca al-Quran semakin berkembang melalui pelbagai program seperti kelas tajwid, tarannum dan tadarus khususnya pada bulan Ramadan.

Namun, penghayatan al-Quran tidak seharusnya terhenti pada bacaan semata-mata. Kita dituntut untuk melazimi membaca al-Quran setiap hari, memahami maksudnya dengan tadabbur, serta menjadikannya sebagai panduan utama dalam setiap aspek kehidupan.

 

Fahami Ayat Al - Quran

Penghayatan al-Quran juga menuntut kita untuk mengamalkan isi kandungannya. Segala ajaran berkaitan akhlak, hukum dan kehidupan sosial perlu diterapkan dalam diri dan keluarga.

Al-Quran mengajar nilai persaudaraan, tolak ansur, kasih sayang dan keadilan, serta melarang perpecahan, dengki dan kezaliman. Dengan mengamalkan ajaran ini, masyarakat akan hidup dalam keadaan harmoni dan diberkati.

 

Akhirnya, Ramadan adalah waktu terbaik untuk mendekati al-Quran dengan lebih dekat. Jadikan ia sebagai rutin harian walaupun sedikit, kerana setiap ayat yang dibaca dan difahami akan memberi cahaya dalam kehidupan. Sesungguhnya, mereka yang menghayati al-Quran bukan sahaja mendapat ketenangan di dunia, bahkan akan memperoleh syafaat di akhirat kelak.